Tuesday, 16 August 2011

Sejarah Penubuhan UMNO

Pada awal abad ke-20, orang Melayu tiba-tiba berhadapan dengan fahaman baru yang dibawa oleh golongan terpelajar dalam bidang agama dari Timur Tengah. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Golongan ini telah menyebarkan idea hidup beragama ala moden dan bebas daripada cengkaman penjajah asing. Fahaman Kaum Muda yang agresif ini telah ditolak oleh para ulamak konservatif dan para cendekiawan Melayu secara baik tetapi mereka tetap menghalusi mesej yang dibawa oleh Kaum Muda dan menyerapkannya dalam urusan harian dengan toleransi yang tinggi untuk mengelak kejutan budaya yang boleh menggugat keamanan.

Akibat daripada penolakan itu, Kaum Muda dan para penyokongnya meneruskan agenda mereka melalui penulisan dalam penerbitan akhbar dan majalah. Penerbitan akhbar dan majalah Melayu ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Akhbar dan majalah baru terbit seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Melalui media itu, orang Melayu mula mendapat kefahaman dan kesedaran secara menyeluruh. Mereka bersemangat untuk menyumbangkan buah fikiran dan tenaga untuk kebaikan bangsa Melayu.

Apabila Inggeris gagal mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan Jepun, satu bangsa Asia yang diperlekehkan pada tahun 1941, orang Melayu mula membuka mata. Mereka berasa yakin bahawa orang Melayu juga boleh menjadi gagah seperti Jepun lebih-lebih lagi keadaan fizikal orang Jepun lebih kecil daripada orang Melayu sendiri. Pada waktu yang sama, tentera Jepun turut membakar semangat orang Melayu agar berfikiran merdeka melalui slogan ‘Asia Untuk Orang Asia’. Paradigma minda ini telah berlaku secara menyeluruh dan besar-besaran.

Orang Melayu berasa perlu bertindak untuk kepentingan negara dan bangsa sendiri. Namun, pada kenyataannya mereka masih banyak ketinggalan terutamanya dalam bidang pelajaran dan ekonomi. Mereka berjaya bersatu dan mempunyai kesedaran dan kefahaman yang sama dalam fikiran tetapi apabila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali menjajah mereka terpaksa menerimanya dengan hati yang berbelah bagi.

Di Batu Pahat, pihak Komunis Bintang Tiga telah mengambil kesempatan merampas kuasa semasa kekosongan kuasa mentadbir yang ditinggalkan oleh Jepun. Mereka telah bertindak menjadi pemerintah selama 14 hari dari 17 hingga 31 Ogos 1945. Mereka membunuh banyak orang Melayu dengan kejam . Berikutan dengan itu, wujud perpaduan Melayu yang diketuai oleh Kiai Saleh. Beliau telah menubuhkan tentera Selendang Merah untuk membalas dendam dengan membunuh ahli-ahli komunis dan orang-orang Cina yang disyaki menyokong komunis di Parit Sulong dan di mukim-mukim yang dilalui menghala ke Batu Pahat.

Dato’ Onn berjaya menghentikan kemaraan Kiai Salleh di Bandar Batu Pahat. Kiai Salleh telah dipujuk supaya membubarkan tenteranya dan berhenti memburu orang-orang Cina Komunis . Peristiwa ini memberikan kesan yang amat mendalam kepada orang Melayu tentang betapa perlunya bersatu padu dan memiliki kuasa di tanah air sendiri. Kumpulan komunis dan orang-orang Cina di Batu Pahat amat terkejut dengan keupayaan tentera Selendang Merah dan perpaduan Melayu. Mereka telah meminta maaf dan berterima kasih kepada Dato’ Onn, sebagai Pegawai Daerah dan pemimpin yang telah berjaya menghentikan pertumpahan darah rakyat ketika itu.

No comments: