Tuesday, 16 August 2011

Penubuhan UMNO

Pada 25 Disember 1945, Sir Harold Mac Michael berjaya mendapat tandatangan persetujuan penubuhan Malayan Union daripada kesemua Raja-raja Melayu dari 9 buah negeri. Melalui akhbar-akhbar, Dato’ Onn bin Jaafar segera menyeru orang-orang Melayu bersatu membincangkannya. Pada 3 Januari 1946, beliau telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung di Batu Pahat dan mengusahakan perjumpaan Melayu secara besar-besaran dalam Kongres Melayu Pertama di Kuala Lumpur. Pada 22 Januari 1946, Pemerintahan Tentera British (BMA) telah mengumumkan penguatkuasaan Malayan Union akan bermula pada 1 April 1946.

Orang Melayu yang masih belum reda kemarahannya dan semangat yang sedang membara seperti api dalam sekam ini terus menyala apabila Inggeris terus melaksanakan rancangan penubuhan kerajaan Malayan Union. Pergerakan Melayu Semenanjung Batu Pahat yang juga diketuai oleh Dato’Onn telah menjadi urusetia dan berusaha menjemput seluruh pertubuhan, kelab dan persatuan Melayu supaya hadir di Kongres Melayu Pertama.

Penubuhan Malayan Union mesti dihalang kerana Inggeris hanya bertujuan untuk mengembalikan maruahnya yang telah diragut ketika kalah dalam peperangan dan penubuhkan Malayan Union akan menghilangkan langsung ketuanan Melayu dan mencabar maruah bangsa. Institusi raja hilang kedaulatan dan kuasa. Negeri-negeri Tanah Melayu diletakkan di bawah Pejabat Tanah Jajahan Inggeris dan kerajaan Malayan Union diketuai oleh seorang gabenor. Pihak Inggeris juga tidak mengendahkan langsung suara orang Melayu meskipun penubuhan Malayan Union tidak dipersetujui rakyat.

Orang Melayu berasa terancam dan terus bersatu. Pada 1 hingga 4 Mac 1946, Kongres Melayu Pertama telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur. Dalam kongres ini semua pertubuhan digabungkan di bawah PEKEMBAR atau UMNO. Dato’ Onn terpilih sebagai Yang Dipertua dan menetapkan Majlis pelancaran Malayan Union dan perlantikan gabenor dipulaukan oleh semua orang Melayu dan juga raja-raja.. Kongres ini juga menetapkan semua orang Melayu berkabung membantah Malayan Union dengan keluar di jalan-jalan raya dan memakai songkok dan baju dengan lilitan putih. Tujuan Kongres Melayu Pertama ini ialah untuk mencari jalan dan bersatu menolak penubuhan Malayan Union. Hasil daripada pertemuan pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu ini, satu resolusi menolak Malayan Union dan perlunya perpaduan dengan satu persatuan diwujudkan. Satu tarikh pertemuan setuju diadakan.


Pada 11 Mei 1946 pertemuan itu telah diadakan di Johor Bahru. Persidangan telah diadakan di Istana Besar dan penubuhan PEKEMBAR atau UMNO telah dirasmikan. Dalam kongres ini mereka bersetuju untuk mengembangkan bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union ke seluruh pelosok negara. Ke arah itu mereka perlu mengeluarkan satu memorandum sebulat suara mewakili seluruh orang Melayu dengan satu suara . Berikutan dengan itu satu resolusi ditetapkan agar semua orang Melayu keluar menunjukkan bantahan dan UMNO ditubuhkan.

Mengikut Undang-undang Tubuh atau Perlembagaan UMNO, penubuhan UMNO bertujuan menjalankan segala ikhtiar dan usaha bagi mendirikan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Perjuangannya adalah untuk memajukan dan menjaga kepentingan orang Melayu khasnya dan rakyat amnya dalam semua lapangan. UMNO juga mengutamakan agama Islam dan adat resam Melayu dan berikhtiar dan berusaha mengembangkannya. UMNO akan memelihara kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai raja berpelembagaan dan menubuh, mengawal dan memelihara asas-asas pemerintahan demokrasi berparlimen.

Tentangan terhadap Malayan Union bertambah hebat melalui UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik yang tersusun. UMNO telah melancarkan rapat-rapat umum dan tunjuk perasaan di seluruh negara hingga berjaya memaksa kerajaan British mengadakan beberapa rundingan hingga tertubuhnya sebuah jawatan kuasa merangka perlembagaan baru yang dipersetujui oleh UMNO. Laporan Jawatankuasa Kerja ini menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah dikeluarkan pada bulan Disember 1947. Pada 21 Januari 1948 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948 menggantikan Malayan Union.

No comments: